1. Melentur buluh biarlah dari rebungnya
Maksud:
Pendidikan terhadap anak-anak hendak bermula sejak kecil lagi kerana mereka paling mudah untuk dididik pada masa itu
Contoh Ayat:
Persatuan Badminton Malaysia harus menitikberatkan pemain yang berumur 12 tahun ke bawah dalam usaha menghasilkan pemain yang hebat kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya.
2. Bagai kacang lupakan kulit
Maksud:
Sikap tidak tahu mengenang budi
Contoh Ayat:
Kita harus sentiasa mengingati kebaikan orang yang pernah menghulurkan bantuan kepada kita pada waktu kita susah dan jangan bersikap bagai kacang lupakan kulit.
3. Sediakan payung sebelum hujan
Maksud:
Membuat persediaan sebelum musibah berlaku
Contoh Ayat:
Amalan menabung wajar dipraktikkan oleh setiap keluarga sebagai langkah sediakan payung sebelum hujan.
4. Bagai aur dengan tebing
Maksud:
Saling bergantung antara satu sama lain
Contoh Ayat:
Hubungan antara Malaysia dengan negara jiran adalah bagai aur dengan tebing kerena saling bergantung dari segi ekonomi, sosial dan geografi.
5. Bagai cendawan tumbuh selepas hujan
Maksud:
Menimbul secara terlalu banyak pada suatu masa
Contoh Ayat:
Sejak pembelian barang secara atas talian menjadi trend baharu pada zaman pandemik, peniaga e-dagang muncul bagai cendawan tumbuh selepas hujan.
6. Bagai duri dalam daging
Maksud:
Perkara yang sangat tidak menyenangkan hati
Contoh Ayat:
Masalah penyalahgunaan dadah yang semakin berleluasa dalam kalangan remaja adalah bagai duri dalam daging kepada masyarakat kita.
7. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna
Maksud:
Menyesal selepas sesuatu kejadian sudah berlaku tidak bermanfaat
Contoh Ayat:
Perokok disarankan untuk berhenti merokok demi menjaga kesihatan diri, ingat bahawa sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna.
8. Nasi sudah menjadi bubur
Maksud:
Sesuatu perkara sudah berlaku dan adalah terlambat untuk mengubahnya
Contoh Ayat:
Fenomena pemanasan global akan mendatangkan kesan yang amat memudaratkan jika terus dibiarkan, semua negara patut memikirkan solusinya sebelum nasi sudah menjadi bubur.